TAHNIAH CALON SPM & STPM YANG DAPAT KEPUTUSAN CEMERLANG.....UNTUK PAPARAN TERBAIK GUNAKAN PELAYAR GOOGLE CHROME.....JIKA TIDAK JELAS, KLIK PADA GAMBAR UNTUK BESARKAN

Surat dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar

Tuan Datuk Bandar,


kami masyarakat burung telah mengadakan mesyuarat agung


pada suatu pagi yang manis dan ranum


di atas bangunan parlimen yang kosong



seluruh kaum burung telah diwakili


oleh para cerdik pandai, kecuali


perwakilan burung gagak yang sibuk dengan urusan kematian


penembakan, bangkai hanyut di sungai kelang.



sidang ini dihadiri juga oleh pemerhati undangan


kupu-kupu yang ada kepentingan


dengan persoalan yang kami bincangkan



Tuan Datuk Bandar,


meski kami tidak pernah mengangkat tuan sebagai datuk kami


kerana perbezaan fahaman taraf ‘Datuk dan ‘cucu’


kerana kelainan pendapat antara rambut dan bulu


(tuan-tuan telah mempermaniskan gelaran


menyebut rambut pada diri tuan-tuan, sedangkan


untuk kami tuan namakan perkataan ‘bulu’)


kami tetap menghormati tuan yang pernah menjanjikan untuk


MENGHIJAUKAN SELURUH WILAYAH



Tapi manusia kota ini telah membunuh


KEHIJAUAN alam


Semata-mata untuk mengejar KEHIJAUAN ringgit sejak lumpur,


kota ini menjadi batu-batu


kami masyarakat burung menjadi mangsa yang bisu


Mendiang burung belatuk menjadi korban punggur rebah


Burung merbuk telah ditipu dengan nama Padang Merbuk


Sedangkan mereka dipenjarakan di tempat yang tuan namakan Sangkar



Perwakilan burung pipit telah mengemukakan protes


Kerana menuduhnya sebagai


‘pipit pekak makan berhujan’.


Ia disokong kuat oleh perwakilan burung punai


Bahawa tuan telah menghina kaum sejenis mereka


Datuk menamakan benda-benda rahsia di tempat rahsia di tubuh Datuk


dengan nama ‘pipit’ dan ‘punai’, sedangkan kami tahu


‘pipit’ dan ‘punai’ Datuk tak pandai terbang


Tuan Datuk Bandar Surat ini merayu kebijaksanaan tuan


Peliharalah tiap pucuk dan akar tumbuh-tumbuhan


Tiap helai daun, tiap kelopak bunga, tiap rimbunan


Itulah rumah kami,


kediaman kami turun temurun.


Malah demi kesejahteraan manusia Kesihatannya, kebahagiaan, kedamaiannya


Alam semula jadi seribu keindahan mekar.


Di bawah matahari bersinar.



Usman Awang


(Puisi-puisi Pilihan Koleksi Sasterwan Negara, 1988).

About This Blog

Blog ini dihasilkan bagi menghimpunkan bahan-bahan yang berkaitan dengan dunia pendidikan. Semoga blog ini akan menjadi rujukan dan juga menghubungkan semua pihak, khususnya warga pendidik tidak kira di mana mereka berada.

  © Blogger template Newspaper II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP